Ahad, 9 Mac 2014

SUARA KITA





Konsert Teaterikal "SUARA KITA"

Sekali lagi TimeFaces diberikan kepercayaan oleh AWIE INTERTAINMENT SDN BHD untuk bersama-sama bekerjasama menjayakan konsert Teaterikal ini selama 7 hari atau 8 persembahan LIVE di Istana Budaya Negara. Bersama-sama TimeFaces Artistry Team sekali lagi kami berkumpul dengan penuh tanggungjawab untuk menjayakannya.









Panggung Sari, Istana Budaya.
3 hingga 9 Mac 2014

NOSTALGIA, itu merupakan predikat yang tepat dalam pengisian pementasan teater muzikal 'KONSERT TEATERIKAL SUARA KITA' yang bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya, pada 3 hingga 9 Mac 2014.
SUARA KITA menampilkan gandingan 3 bintang yang tidak pernah hilang sinarnya; Awie, Ziana Zain dan Erra Fazira yang bakal berkongsi pentas. Teater muzikal ini akan menjadi pengubat kerinduan para peminat kepada ketiga-tiga bintang ini.
Kalau anda nak tahu apakah kelainan yang diberikan oleh Awie di dalam Konsert Teaterikal Suara Kita ini, jangan lupa dapatkan tiket dan saksikan penyanyi pujaan ramai ini menyanyikan lagu-lagu yang pernah mencipta fenomena seperti Di Ambang Wati, Ratuku, Senja Nan Merah, Kekal, Bersama Akhirnya, Jendela Hati, Pasrah dan banyak lagi.

Untuk pengetahuan anda, tiket persembahan yang berlangsung dari 3 Mac hingga 9 Mac 2014 di Panggung Sari Istana Budaya ini mula dijual dari harga RM79 hingga RM499 dan boleh dibeli di kaunter Istana Budaya ataupun layari Ticket2u.

Melalui gabungan tiga nama ini di dalam layar perak, industri filem Melayu telah melakar sejarah dengan menghasilkan kutipan sebanyak RM 4.2 juta. Ini adalah hasil gabungan tiga jiwa, suara dan populariti Awie, Ziana Zain dan Erra Fazira sebagai watak utama yang membintangi filem 'Sembilu', yang pernah menjadi ikon percintaan anak muda malah mencipta suatu fenomena dua dekad yang lalu.
Seperti membukukan sejarah, KONSERT TEATERIKAL SUARA KITA bakal mengimbau kembali momen kegemilangan 5 buah filem Melayu iaitu Sembilu, Sembilu 2, Tragedi Oktober, Merah dan Maria Mariana 2 yang akan menjelajah jiwa dan rasa khalayak selama 2 jam 30 minit dengan sorotan adegan dan lagu yang akan berisi momen-momen tersendiri buat khalayak yang sudah sekian lama mengikuti perjalanan seni mereka.

Penampilan dan suasana set pentas Konsert Teaterikal ini akan bertemakan 'English and Italian elegant' yang segar, dibawakan ke pentas yang berprestij ini dan dilatari visual menarik ... mengiringi senarai repertoire KONSERT TEATERIKAL SUARA KITA. Akhir kata, konsert ini adalah sebuah persembahan yang wajar dijadikan satu lagi momen istimewa buat para peminat tegar Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain.